Tips: Tak Berani, Macam Mana Nak Mula Pakai Tudung?
10:10 AMAssalamualaikum,
Okay. Aku bukan lah orang yang ilmu agama tip top, aku juga bukanlah orang yang paling sempurna menutup aurat. Aku juga tak maksum dan aku memang banyak khilaf.
Jadi? Kenapa Kau Rasa Kau Layak Tulis Entri Ni?
Aku tak lah kata aku layak tulis entri ni. Entri ni sebenarnya sekadar perkongsian. Sebab aku pun bukannya perempuan yang sejak kecil lagi bertudung. Dah nak habis sekolah menengah dulu baru aku bertudung. Jadi, aku rasa, mungkin ada sesetengah orang akan dapat relate dengan entri aku ni dan boleh terbuka hati untuk perlahan-lahan berubah. Aku pun nak kumpul saham juga, hehe.
Sebelum Bertudung...
Aku sebelum bertudung dulu sebenarnya tak adalah liar pun. Aku jaga tingkah laku aku. Kalau nak pergi sekolah, pakai pakaian seragam tu dah sah-sah lah kena pakai tudung, kan? Tapi bila ada aktiviti petang kat sekolah, atau hari sukan, aku tak pakai tudung. Lepas tu, mula lah permainan sorok-sorok secara tak rasmi. Aku dan beberapa orang kawan aku yang masih tak bertudung masa tu berlari-lari lah menjauhi ustaz dan ustazah. Tak nak kena sindir. Lagi-lagi dengan seorang ustazah yang garang gila.
Pernah ada seorang guru lelaki yang jadi penasihat satu persatuan yang aku join ni tegur aku. Yang aku rasa marah tu sebab masa tu kitorang tengah meeting pasal aktiviti seterusnya yang persatuan kitorang nak buat. Tapi sebab dia mula tegur, tiba-tiba agenda meeting tu dipesongkan untuk fokus pasal kenapa aku tak bertudung sambil selitkan nasihat berbaur paksaan supaya aku bertudung. Ahli-ahli lain dah buat muka tak selesa sebab guru tu asyik cakap-cakap pasal benda yang dorang anggap mungkin buat aku malu. Jadi semua orang pun senyap je.
Tak Bertudung Ni Jahat Sangat Ke?
"Aku tak bertudung pun, bukannya aku buat benda-benda jahat."
"Macam lah semua perempuan yang bertudung tu baik."
Masa tu dah banyak benda aku fikir. Macam kat atas tu lah. Tapi selepas beberapa tahun, aku teringat balik benda yang aku fikir dan cakap dekat kawan-kawan aku tu. Masa tu baru lah aku sedar betapa aku silap. Memang lah orang yang tak bertudung tu tak semuanya jahat. Tapi dorang akan jadi selangkah lebih baik, dan selangkah lebih hampir kepada Allah kalau pakai tudung. Dan memang lah bukan semua perempuan yang bertudung tu baik, tapi sekurang-kurangnya nampak secara hakiki bahawa dia berusaha untuk perbaiki diri dia. Sebab Allah dah suruh kita supaya tutup aurat. Aku yang free hair masa tu, terang-terangan ingkar. Bila aku ingat balik, rasa bersalah dan sedih dengan diri aku yang dulu.
Titik Perubahan
Semua orang akan lalui titik perubahan dalam hidup dia, dan titik perubahan ni bukan hanya berlaku sekali, tapi berkali-kali. Sebab banyak aspek dalam hidup kita yang akan kita usahakan untuk ubah dengan meningkatnya usia dan pengalaman hidup. Titik perubahan aku dalam soal bertudung ni pula bermula dengan seorang ustazah ni. Ustazah ni, kalau kitorang tak bertudung, macam mana kitorang sembunyi pun dia tetap nampak dari jauh. Dah lah ustazah tu guru subjek Pendidikan Islam kitorang, maka bermula lah sesi teguran dalam kelas Pendidikan Islam.
"Semalam masa merentas desa, *nama sekian-sekian* tak pakai tudung kan?"
Kitorang pun berpandangan lah. Sambil buat senyum tersipu-sipu, macam nak minta tendangan tanpa bayang je muka kitorang masa tu. Segan pun ada, rasa bersalah pun ada.
"Pakai lah tudung, baru lagi comey. Dah Allah bagi rupa comey-comey belaka. Kalau pakai tudung memang lagi comey. Kalau tak nak pakai tudung terus tak apa. Tutup sikit-sikit, tutup perlahan-lahan. Panjangkan lengan baju sikit-sikit, panjangkan seluar sikit-sikit, pakai topi, lepas tu pakai tudung."
Serius aku cakap, aku terharu sangat. Sebab pertama kali dalam hidup aku, aku tak terasa aku perlu takut dengan ustazah ni. Tapi aku rasa bersalah, sebab utamanya, dia tak kecam kitorang, tapi dekati kitorang dengan pendekatan yang mesra. Haa, ni nasihat untuk orang ramai. Kalau ada orang sekeliling korang tak bertudung, tak payah nak guna pendekatan sentap-menyentap sangat. Pendekatan tu tak berkesan untuk kebanyakan orang. Gunalah pendekatan yang lebih berhikmah.
Macam Mana Aku Start?
Waktu tu, sekolah kitorang ada camping besar-besaran. Biasanya aku kalau camping-camping ni, aku free hair je. Tapi sebab aku terfikir akan bertembung dengan ustazah tu nanti masa camping, aku rasa bersalah. Jadi sepanjang 3 hari camping tu aku bertudung. Selepas camping tamat, aku balik rumah. Pertama kali aku nak keluar rumah sejak camping tu tamat, aku tiba-tiba rasa serba salah nak keluar rumah tanpa pakai tudung. Lepas tu aku terfikir. "Kalau bukan sekarang, bila lagi?"
Serius aku cakap, masa tu banyak benda aku fikir, tapi semua aku tolak tepi supaya aku dapat laksanakan apa yang aku nak buat ni. Jadi aku pun pakai tudung keluar hari tu, sehinggalah sekarang. Aku tak kata sekarang ni aku dah sempurna. Cuma aku masih lagi ke arah menutup aurat dengan betul secara perlahan-lahan. Orang boleh paksa, orang boleh sindir, tapi perubahan tu datang dari diri sendiri.
Mula-mula aku buka cerita ni, ada juga pihak yang pertikaikan. Kau bertudung sebab rasa bersalah kat ustazah tu? Bukan patut kerana Allah ke? Pendapat aku yang tak berapa penuh ilmu di dada ni, aku rasa perubahan tu sememangnya didorong oleh ustazah tu, tapi perlahan-lahan aku ikhlaskan diri atas rasa takut mengingkari perintah Allah. Mungkin juga ustazah tu dihadirkan dalam hidup kitorang sebagai medium Allah untuk bantu kami berubah ke arah yang lebih baik. Seperti mana pisau yang tajam tu digunakan sebagai medium untuk memotong daging dan sayur, dengan izin Allah. Semuanya aku yakin, dengan izin Tuhan.
Tips? Kat Mana?
Tips? Aku tak ada apa-apa tips yang spesifik. Tapi berdasarkan pengalaman dan perbualan dengan orang, aku dapati antara benda yang buat kita masih tangguhkan hasrat untuk bertudung adalah perasaan takut atau risau. Nak takut atau risau apa pula, kan? Mestilah takut dan risau. Sebagai manusia biasa, mesti akan terfikir pasal tanggapan orang lain tentang apa yang kita buat, atau apa kesan bertudung ni dalam kehidupan harian kita. Awal-awal bertudung ni, pasti ada yang tak kena sangat dengan penampilan, sebab baju-baju masih tak berapa nak up-to-date mengikut penampilan bertudung yang terkini. Jadi, ada ketat sikit, singkat sikit, mesti orang nak tegur, nak umpat.
Dalam hidup kita ni, tak semua orang akan sukakan kita. Manusia yang baik macam malaikat pun ada orang benci. Apatah lagi yang biasa-biasa macam kita ni kan? Pendapat aku, abaikan orang-orang macam tu. Kau teruskan je dengan apa yang kau tengah buat. Biarkan apa yang dia buat tu jadi urusan antara dia dengan Tuhan. Kau pula, terus melangkah ke depan. Jangan pandang belakang lagi.
Oh, kalau korang tak nak kekok sangat tiba-tiba pakai tudung, mulakan masa bulan Ramadhan, atau masa awal tahun. Kalau korang nak terus bertudung masa hari-hari biasa pun okay je. Serious aku cakap, cuba bertudung penuh masa event-event keagamaan atau event-event yang buka peluang untuk korang bertudung. Bertudung penuh seharian tu. Buat at least 3 hari berturut-turut. Then, inshaaAllah akan lahir perasaan macam rasa sayang je nak buka tudung lepas tu. Ini aku cakap berdasarkan pengalaman sendiri. Apa-apa pun, aku doakan korang berjaya!
1 Comment(s)
info yg bermanfaat 😊
ReplyDelete